Saya telah dianugerahkan dengan tujuh orang anak - enam lelaki dan seorang perempuan. Lima daripadanya sudah bersekolah; dua orang di sekolah menengah dan tiga lagi di sekolah rendah. Pada awalnya, kesemua mereka, saya hantar ke sekolah swasta.
Apa yang ‘menarik’ tentang anak-anak saya ini ?
Sudah boleh membaca dari usia awal..
Tidak ada apa yang menarik, hanya saya pastikan anak-anak saya sudah boleh membaca dari usia yang awal iaitu sebelum mereka ke sekolah lagi. Mereka ini bukanlah tergolong dalam golongan kanak-kanak pintar atau genius seperti Adi Putera ataupun Ahmad Atiq ... tetapi yang pastinya, anak-anak saya sudah boleh membaca dari usia yang awal...
Anak kedua saya mula membaca semasa dia berusia tiga tahun. Anak ketiga pula semasa dia berusia empat tahun. Anak keempat dan kelima, masing-masing mula membaca semasa berusia lima tahun. Yang lebih menyeronokkan saya ialah anak saya yang keenam telah mula mengenal bunyi-bunyi huruf seawal 2 tahun. Anak sulung dan yang ke lima saya pula, walaupun tidak ‘secepat’ yang lain-lain, juga telah boleh membaca semasa berusia enam tahun.
Kini, bagi sesetengah ibu bapa, senario anak membaca di awal usia adalah senario biasa. Ianya bukan suatu yang ajaib melihat atau mendengar anak sudah boleh membaca pada usia seawal dua ataupun tiga tahun, Pada tahun 70an, jika kita masih ingat lagi, kita digemparkan dengan berita seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun, sudah boleh membaca! Pada tahun 2005, sekali lagi kita digemparkan dengan seorang lagi kanak-kanak, Adi Putera yang baru berusia 4 tahun tetapi sudah boleh menyelesaikan masalah Matematik yang kompleks . Kanak-kanak ini juga diberitakan mula membaca pada usia 2 tahun.
Tetapi kebanyakan ibu bapa lebih ‘biasa’ dengan senario anak melangkah ke alam persekolahan dalam keadaan tidak tahu membaca. Sama ada begitulah keadaannya dengan anak-anak jiran atau anak-anak saudara ataupun itulah yang terjadi kepada anak-anak mereka sendiri.
Bagi mereka yang mempunyai anak yang bermasalah untuk membaca, pastinya mencari-cari panduan membimbing dan mengajar anak membaca. Lebih merisaukan apabila anak masih terkial-kial membaca walaupun telah bersekolah. Si ibu terutamanya pasti tercari-cari sebab mengapa anaknya masih tidak boleh membaca. Di manakah silapnya? Di manakah puncanya? Mungkinkah ada cara untuk membantu? Atau adakah mungkin anak itu jenis anak ‘lemban’ yang tidak dapat dibantu? Ramai orang memperkatakan tentang dyslexia... terfikirlah pula di fikiran si ibu, apakah anaknya juga dyslexia?
Pada suatu masa dahulu, saya ialah seorang ibu yang tidak tahu apatah lagi berpengalaman untuk mengajar membaca. Segala-galanya bermula setelah saya mendaftarkan anak sulung saya ke tadika semasa usianya lima tahun. Setelah setahun dia berada di tadika, gurunya mula menelefon saya...
Wednesday, May 16, 2007
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment